Menulis adalah kebiasaan untuk aku luahkan apa yang rasakan. Biarpun tidak kesemuanya mampu aku ceritakan tetapi sedikit dan sebanyak ia dapat melegakan beban yang selama ini aku pendamkan. Jangan terlalu cepat menyangka bahawa aku mudah memperoleh ilham dan inspirasi untuk berkongsi penulisan. Ia perlu ada keberanian.
Ada orang, hanya mampu pendam dan meluah semuanya kepada Maha Berkuasa. Malah ada orang, memiliki keberanian menulis dalam meluahkan perasaan ketika tiada siapa sudi untuk memahami jiwa dan perasaannya. Maka, setiap penulis mahu ada orang di luar sana yang sudi menghargai pengorbanan dan usaha mereka. Bukan diambil kesempatan ke atasnya.
Kadangkala sendiri itu, jauh lebih indah dari berada di situasi kebanyakkan kerana saat itulah aku mampu memberi tumpuan dalam mencipta karya penulisan. Biarpun ada waktu dan ketikanya, aku perlukan teman dan berusaha untuk memiliki ramai kenalan tetapi tiada satu pun mampu menyelami kehendak perasaan. Disebabkan inilah, aku sudah terbiasa sendiri dan perlahan-lahan mengajar aku erti berdikari. Merawati luka hati dengan sendiri tanpa mengharap simpati oleh sesiapa untuk berada di sisi. Aku perlu mencari kekuatan jiwa dan diri untuk bangkit kembali.
Aku menampal setiap serpihan hati dan menjahitnya dengan penuh teliti. Aku tahu, hati ini tidak mungkin menjadi ke rupa asal lagi. Aku berjalan sendiri, itu tidak bermakna hati ini berasa sunyi. Ia mengajar diri ini seperti apa ertinya berdikari. Sekurangnya, aku tahu rasanya susah saat berusaha sendiri. Ibuku pernah beritahu, biar kita merasa susah ketika cuba berdikari. Namun kita akan temui jalan solusinya dek kerana azam untuk tidak mudah mengalah saat di uji. Inilah lumrah kehidupan yang perlu aku hadapi. Segalanya aku bergantung harap kepada Ilahi untuk teruskan kehidupan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan