Rabu, 6 November 2019

11.12.2019 sifat ketuhanan

Sifat Ketuhanan

Sifat ketuhanan adalah sifat-sifat yang ada pada ilaaha iaitu Tuhan yang sebenarnya, yang wajib disembah dan ditaati. Ilaaha itu ialah yang bernama Allah. Allah wajib disembahyang dan ditaati kerana Allah mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Selain dari Allah (alam / makhluk) tidak boleh ada sifat-sifat ketuhanan ini.

Apakah itu sifat-sifat ketuhanan?
Sifat ketuhanan ialah aqoid (kepercayaan-kepercayaan) yang wajib di isi dalam keimanan kita terhadap Diri Allah. Ertinya wajiblah kita percaya bahawa Diri Allah ada sifat-sifat ketuhanan yang tidak boleh ada pada makhluk atau alam.

Sifat Allah tidak terhitung bilangannya. Yang wajib diketahui dan dipelajari oleh mukalaf hanya 20 sifat sahaja. 20 sifat wajib ini dekat dengan alam maka ia dapat difikir dan difahami oleh akal manusia. Akal manusia adalah lemah dan tidak mampu memahami sifat-sifat Allah yang diluar dari alam.

Kesemua 20 sifat wajib ini adalah sifat ketuhanan Allah swt. Sifat ketuhanan dibahagi kepada 2 iaitu:-
                    1) sifat istighna' - mengandungi 11 sifat wajib.
                    2) sifat iftiqaaru - mengandungi 9 sifat wajib.

1) Sifat Ketuhanan Istighna'
Sifat istighna' membawa maksud sifat terkaya di seluruh alam. Allah bersifat Maha Terkaya. Erti Allah terkaya ialah:-
* Allah tidak perlu kepada sesuatu
* Allah tidak berhajat kepada sesuatu
* Allah tidak mengambil faedah dari apa yang dicipta-Nya
* Allah tidak menggunakan Kekusaaan-Nya untuk Diri-Nya sendiri.

Allah bersifat terkaya ertinya Allah Maha Sempurna dari segala kekurangan. Sifat kekurangan adalah sifat makhluk. Allah tidak boleh sama dengan makhluk. Maka hendaklah kita isikan dalam iktikad kita terhadap Allah bahawasanya Allah itu mempunyai 11 sifat istigha' ini:-
1) Wujud
Allah wujud tidak dari sesuatu.

2) Qidam
Allah wujud tidak dijadikan (tiada mula).

3) Baqo'
Allah wujud berterusan (tiada akhir).

4) Mukhalafatuhu lilhawadith
Allah wujud tidak sama dengan alam (baharu).

5) Qiamuhu binafsih
Allah wujud tanpa perlu kepada sesuatu.

6) Sama'
Allah mendengar segala yang diciptaNya serentak, berterusan tanpa henti

7) Basar
Allah melihat segala yang diciptaNya serentak, berterusan tanpa henti.

8) Kalam
Allah berkata-kata berterusan tanpa henti, tanpa huruf, tanpa suara.

9) Kaunuhu Sami'an
Allah mendengar tanpa perlu kepada perantaraan seperti telinga (Zat Allah yang mendengar).

10) Kaunuhu Basiran
Allah melihat tanpa perlu kepada perantaraan seperti mata (Zat Allah yang melihat).

11) Kaunuhu Mutakalliman
Allah berkata-kata tanpa perlu kepada perantaraan seperti lidah, suara dan huruf (Zat Allah yang berkata-kata).

Inilah sifat-sifat ketuhanan istighna' yang mesti diisi dalam Diri Tuhan yang bernama Allah yang kita imani. Sifat-sifat ini semua tidak boleh ada pada diri makhluk. Hanya Allah yang bersifat terkaya di seluruh alam ini.

Perlu juga kita ketahui bahawa Allah terkaya pada 3 perkara iaitu:-
1) Terkaya pada kejadian.
Ertinya Allah menjadikan apa sahaja tanpa batas (limit). Makhluk tidak berdaya untuk menghitung segala kejadian di alam ini sama ada yang dapat kita lihat atau tidak. Allah terkaya pada kejadian-Nya sendiri kerana adanya Allah tidak perlu dijadikan, adanya Allah tidak dari sesuatu, adanya Alalh tidak berhajat kepada sesuatu.

2) Terkaya pada hukum.
Allah tidak tertakluq kepada segala hukum di alam ini. Allah yang menjadikan segala hukum yang diperlukan alam seperti hukum masa. Allah tidak tertakluq pada masa kerana Allah tidak berubah. Yang berubah adalah baharu (alam).

3) Terkaya pada perintah.
Allah tidak mengambil faedah dari perintah yang diwajibkan kepada makhluk-Nya. Allah memerintahkan semua makhluk taat kepada-Nya. Namun jika seluruh alam mendurhakai perintah-Nya, Allah tidak akan menjadi lemah atau kurang sifat ketuhanan-Nya. Jika seluruh alam mentaati dan menyembah-Nya, Allah tidak akan bertambah kekuasaan-Nya. Allah sudah terkaya dan tidak perlu kepada penyembahan makhluk-Nya untuk menjadi Tuhan seru sekelian alam.

2) Sifat Ketuhanan Iftiqaaru
Sifat iftiqaaru membawa maksud sifat-sifat Allah yang dihajati oleh sekelian alam (makhluk). Sifat yang dihajati oleh alam ertinya alam amat perlu kepada sifat-sifat istiqaaru ini untuk wujud. Tanpa sifat-sifat iftiqaaru alam tidak akan berdaya wujud dan berfungsi seperti apa yang kita lihat sekarang.

Sifat ketuhanan istiqaaru mengadungi 9 sifat wajib iaitu:-
1) Wahdaniah
Alam tidak akan wujud jika Allah tidak bersifat wahdaniah (esa atau tunggal). Alam yang dikuasai oleh banyak Tuhan akan hancur dan tidak boleh wujud.

2) Qudrah
Alam perlu kepada Qudrah Allah kerana alam tidak ada daya upaya dalam kewujudannya sendiri.Laa haulaa wala quwata ilaa lillah (tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah semata-mata).

3) Iradah
Alam tidak dapat mengatasi kehendak Allah. Maka itu manusia wajib berdoa kepada Allah untuk segala keperluan hidupnya.

4) Ilmu
Alam tidak dapat merangkumi ilmu Allah kerana ilmu Allah tiada batasnya. Alam perlu kepada ilmu Allah kerana alam bersifat jahil.

5) Hayaah
Alam perlu kepada sifat hidup Allah untuk wujud. Segala kehidupan hanya wujud kerana dijadikan oleh Tuhan Yang Maha  Hidup.

6) Kaunuhu Qadiran
Keadaan Zat Allah yang berkuasa. Segala yang ada pada alam adalah di dalam kekuasaan Allah. Alam tiada daya upaya sendiri.

7) Kaunuhu Muridan
Keadaan Zat Allah yang berkehendak. Segala kejadian pada alam adalah di atas kehendak Allah. Alam tidak akan wujud jika tidak kerana kehendak Allah menjadikannya.

8) Kaunuhu 'Aliman
Keadaan Zat Allah yang berilmu. Segala kejadian dijadikan dengan ilmu Allah. Tiada yang jadi dengan sendirinya kecuali Zat Maha Suci Allah dengan segala sifat ketuhanan-Nya.

9) Kaunuhu Haiyan
Keadaan Zat Allah yang hidup. Allah yang memberi hidup kepada alam. Alam tidak boleh hidup tanpa Allah Yang Maha Hidup.

Sifat-sifat ketuhanan istighna' dan iftiqaaru wajib kita isi dalam keimanan kita terhadap Allah swt. Kita beriman bukan kepada nama (Allah) sahaja tetapi beriman kepada yang Empunya nama (Allah) itu. Isikan sifat-sifat ketuhanan ini ke dalam Diri yang empunya nama (Allah) itu. Jika dapat dilakukan, maka kita telah dapat mengenal siapa itu Allah dan apabila kita melafazkan kalimah tauhid - Laa ilaaha illallah - kita benar-benar telah menegakkan Allah sebagai Tuhan yang tunggal yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan yang layak bagi-Nya dan layak disembah oleh sekelian alam.

Wallahu'alam bisawab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan