*KERAJAAN-KERAJAAN KECIL PADA ZAMAN PEMERINTAHAN BANI ABBASIYAH (Siri 573)*
*Dinasti Al-Ayubiyah (1171-1260M): Sultan Keenam As-Salih Najmuddin Ayub (1238- 1249M)*
*Kerjasama Pemimpin Salib Dengan Pemimpin Mongol*
Wilayah kaum Muslimin menjadi sasaran pelbagai pihak untuk dijajah seperti pemimpin Salib, Mongol, Khawarezm dan juga perebutan kuasa antara pemimpin Muslim. Ketika pasukan Salib VII berada di pulau Cyprus, pemimpin Mongol telah berutus surat dengan Raja Louis IX untuk bekerjasama bagi menyeranga dan menyerahkan Baitul Maqdis kepada pemimpin Salib. Penulis sejarah perang Salib VII, Jean de Joinville mengatakan,
"Pada waktu itu pemimpin Mongol mengirim dua orang wakilnya ke pulau Cyprus dengan membawa sepucuk surat. Di antara kandungan surat itu bahawa pemimpin Tartar sedia membantu Raja Perancis Louis IX bergerak menyerbu tanah suci dengan sasaran membebaskan makam suci dari tangan kaum Muslimin."
Utusan dari pihak Mongol adalah dua orang penganut Nasrani Nestorian iaitu David dan Mark. Mereka telah disambut dengan baik oleh pemimpin Salib dan menetap di pulau Cyprus dari bulan Disember 1248 Masihi hingga Januari 1249 Masihi. Apabila berangkat pulang mereka disertai oleh rombongan delegasi Raja Louis IX untuk bertemu pemimpin tentera Mongol iaiu Eljigidei yang akan mengiringi mereka bertemu pemerintah Mongol di Karakorum.
Namun kerjasama itu tidak mencapai kejayaan apabila pemerintah Mongol tidak mahu menerima syarat-syarat yang ditawarkan oleh pemimpin Salib. Bahkan beliau dengan sombong mengatakan pasukan tenteranya sangat kuat dan ramai pihak meminta bantuan mereka. Penolakan tawaran kerjasama oleh pemerintah Mongol mengecewakan Raja Louis IX. Bahkan beliau dikatakan menyesal mengirim delegasinya yang turut membawa pelbagai hadiah kepada pemerintah Mongol.
Raja Louis IX kemudiannya meneruskan rancangan asalnya. Pasukan tenteranya segera membuat persiapan meninggalkan pulau Cyprus untuk menyerang Mesir. Ketika pasukan armada lautnya bersiap sedia untuk mengharungi samudera tiba-tiba datang badai yang besar menghentam kapal-kapal mereka sehingga pecah dan hancur. Para tentera Salib tercampak keluar dari kapal. Peristiwa tersebut telah mengejutkan Raja Louis IX.
Beliau dengan segera meminta bantuan dari pasukan Salib yang berada di kota Akka. Raja Louis IX meminta mereka menyediakan kapal-kapal untuk meneruskan misi perang Salib VII. Namun Raja Louis kecewa bagi kali kedua apabila permintaannya tidak mendapat sambutan kerana berlaku peperangan antara golongan Junubiyah dan Venesia di kota Akka. Mereka tidak berupaya membantu Raja Louis IX akibat peperangan yang sedang berlangsung.
Keadaan bertambah runcing bagi Raja Louis IX dan pasukan tenteranya kerana berita kedatangan mereka untuk menyerang Mesir sudah diketahui oleh para pemimpin Dinasti Al-Ayyubiyah. Pasukan tentera Muslimin telah siap sedia dengan kekuatan ketenteraan, persenjataan dan benteng-benteng yang kukuh untuk menghadapi serangan pasukan Salib VII.
Peristiwa-peristiwa malang yang berlaku kepada Raja Louis IX mendorong seorang sejarwan Eropah mengatakan,
"Sesungguhnya peristiwa-peristiwa ini adalah seolah-olah merupakan isyarat dari Tuhan kepada Raja Perancis Louis IX yang mengatakan 'Kamu mesti kembali ke Perancis. Pasukan yang kamu bawa akan mengalami kegagalan dan mereka sedang berusaha menyelamatkan diri secepat mungkin.'"
Bersambung esok. Insha Allah
Ustaz Sabir
15hb. Feb. 2023
24 Rejab 1444H
Sebahagian Rujukan : Bangkit dan Runtuhnya Daulah Fatimiyyah, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Abbasiyah, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Al-Ayyubiyah, Salladin The Life, The Legend and the Islamic Empire, Pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah, Tarikh Khulafa, Kerajaan Khalifah Islam Kegemilangan Pemerintahan Abbasiyyah, Sejarah Peradaban Islam, Ensaiklopedia Sejarah Islam, Senja Masa Keemasan, Sejarah Peradaban Islam:Dirasah Islamiyah II, History of the Arab, Dinasti-dinasti Islam, Sejarah Umat Islam dan lain-lain.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0jmUs4SsjSL8hbVCh4P5CNbnCWuEnLvPRLK3FacSax2WVs5i9dF1XHWWXLWwKmoakl&id=100063536203469&sfnsn=mo&mibextid=RUbZ1f
Tiada ulasan:
Catat Ulasan